Pengenalan Kepada Pendidikan Pemulihan

Pada tahun 1983, Sistem Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan, iaitu yang memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas 3M (menulis, membaca, mengira) dan penekanan kepada pendidikan pemulihan. Hal yang sedemikian ini menjadikan masalah dalam pembelajaran pada peringkat sekolah rendah menjadi fokus polisi dan program utama negara.
Sistem pendidikan telah menyediakan program pemulihan bagi membantu murid mengatasi masalah kelemahan khusus dalam pembelajaran terutamanya dalam penguasaan kemahiran asas 3M pada tahap yang tertentu akan mengikuti Program Pemulihan Khas. Program Pemulihan menggunakan pendekatan klinikal untuk ‘merawat’ kesukaran belajar atau masalah dalam pembelajaran yang dihadapi oleh murid yang berkenaan.
Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan. Pendidikan Pemulihan juga disebut sebagai ‘Remedial Education’ di dalam bahasa Inggeris, iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja. Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa.


Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Keluasan kelas pemulihan khas adalah bergantung kepada kekosongan bilik darjah. Peringkat awal pelaksanaan program pemulihan terdapat sebahagian hanya terdiri daripada satu ‘bay’ atau berada di lorong laluan. Tetapi kini kelas pemulihan khas telah mengalami transformasi dan mempunyai kelengkapan yang terbaik bagi menghasilkan kelas yang kondusif dan mampu menjana perubahan kepada murid-murid pemulihan bagi mengatasi kelemahan mereka. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepati kehendak ‘menjadikan pulih ‘. Pendidikan Pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.

No comments:

Post a Comment