Keperluan Pelaksanaan Program Pemulihan di Sekolah-sekolah Rendah di Malaysia

Program Pendidikan Pemulihan Khas mula diberi perhatian oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia setelah Laporan Murad 1972 melaporkan terdapat 25% murid-murid sekolah rendah tercicir dan tidak menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Kursus dalam perkhidmatan diperkenalkan di mana guru-guru yang berminat dalam bidang pendidikan pemulihan ini dihantar mengikuti kursus 14 minggu dan Kursus Sijil Perguruan Khas selama satu tahun bermula pada tahun 1990an.
Laporan akhbar Berita Harian keluaran 27 November 2007 menyatakan kira-kira 100,000 murid Tahun Satu tidak dapat menguasai 3M sudah tentu mengejutkan. Jumlah ini mewakili 23 peratus daripada jumlah keseluruhan murid Tahun Satu. Hal ini telah menunjukkan kebanyakan murid-murid menghadapi masalah dalam 3M dan kerajaan hendaklah mengambil tindakan dengan segeranya untuk mengatasi masalah ini. Masalah ini akan menjejaskan pembangunan negara pada masa depan kerana generasi muda merupakan harapan negara. Jadi, murid-murid hendaklah menguasai kemahiran asas dan mewujudkan guru yang berprofesional.
Laporan ini menggusarkan kita tentang kadar keciciran bakal berlaku pada peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Berdasarkan keadaan ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) secara sepenuh masa, Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) secara kursus dalam cuti dan diikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan bermula pada bulan Januari tahun 2009.
Program Pendidikan Pemulihan Khas dilaksanakan di dalam kelas khas secara ‘withdrawal’. Program ini dikelolakan oleh guru yang menerima latihan khas dan mempunyai sijil, diploma atau ijazah dalam pendidikan pemulihan khas. Murid-murid yang ditempatkan dalam kelas khas ini adalah murid yang ditarik dari kelas biasa yang telah mengikuti program pemulihan dalam kelas biasa. Murid yang akan ditempatkan di kelas khas ini perlu mengikuti prosedur tertentu setelah dicalonkan sebelum berjaya diterima mengikuti pendidikan pemulihan khas.
Sistem ‘withdrawal’ yang diamalkan menuntut guru-guru pendidikan pemulihan khas melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan rajin, tekun, bertenaga. Guru-guru akan menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik dan sesuai untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M. Bahan bantu mengajar ini akan berasaskan model pengajaran tertentu sehingga murid-murid yang berada di kelas pemulihan khas mampu menguasai kemahiran-kemahiran yang gagal dikuasai di kelas biasa. Selepas berjaya menguasai kemahiran 3M, murid-murid akan ditempatkan semula di kelas biasa.
Murid-murid yang terpilih ini akan menghadiri kelas pemulihan khas pada waktu tertentu untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran berkaitan pemulihan Bahasa Melayu (membaca dan menulis) dan Matematik (mengira). Hal ini demikian kerana kelas pemulihan akan mengutamakan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik untuk membantu murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Pada waktu mata pelajaran lain, murid-murid ini akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di kelas biasa.
Dalam dunia moden ini, tidak dapat mengenal huruf akan menyekat kemajuan, tidak boleh mengira akan mengganggu perjalanan kehidupan sehari-hari dan tidak pandai menulis bererti tidak mempunyai satu kemahiran asas untuk membatang dan menurunkan sesuatu kepada lambang yang telah diterima oleh masyarakat sebagai bukti kebolehan dalam hidup zaman moden ini. Sekiranya berlaku kegagalan dalam kalangan murid-murid terhadap satu atau beberapa kemahiran, mereka tidak dapat meneruskan pelajaran dan masyarakat akan menganggap mereka sebagai mundur. Ini tidak wajar berlaku dalam proses pendidikan yang sebenar.
Mengesan dan memulihkan masalah pembelajaran harus dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan masalah yang dihadapi dalam Tahun Satu tidak berulang dalam Tahun Dua dan tahun-tahun seterusnya. Masalah pembelajaran murid-murid itu haruslah diselesaikan dari awal dan tidak boleh ditangguhkan kemudian. Aktiviti pemulihan yang dilaksanakan akan membantu mereka menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya.

Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Setelah mengikut program ini dalam jangka masa yang ditentukan murid boleh menguasai kemahiran asas 3M, meneruskan pembelajaran di kelas biasa, menambah sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

No comments:

Post a Comment