Kaedah Pelaksanaan Program

Proses pelaksanaan Program Pemulihan Khas adalah seperti dalam carta aliran berikut:


Program pemulihan dijalankan secara terancang dengan adanya peringkat-peringkat. Pencalonan murid merupakan asas dalam pendidikan pemulihan dan pencalonan murid merupakan peringkat pertama dalam melaksanakan program pemulihan. Pencalonan murid untuk mengikuti program pemulihan khas boleh dilakukan oleh guru kelas, guru besar dan ibu bapa atau penjaga. Guru kelas boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan pencapaian murid dalam kemahiran asas, iaitu menulis, membaca dan mengira, hasil kerja murid dalam kelas atau keputusan ujian yang diikuti seperti ujian bulanan, semester atau ujian setiap kemahiran. Guru besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Malah, ibu bapa atau penjaga boleh mencalonkan anak-anak mereka berdasarkan masalah pembelajaran anak mereka.
            Peringkat kedua ialah pengumpulan maklumat, butir-butir individu dan prestasi murid akan dapat menolong guru pemulihan memahami murid yang dicalonkan. Ini membolehkan guru pemulihan membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program pemulihan ataupun tidak. Rekod peribadi akan membantu guru pemulihan mengetahui tentang beberapa aspek penting seperti kesihatan dan taraf sosio-ekonomi murid.
            Peringkat ketiga pula merupakan proses saringan. Proses ujian saringan ialah satu instrumen pengukuran yang menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas oleh murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti Program Pemulihan Khas. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan bantuan pemulihan khas. Bahan atau topik dalam Ujian Saringan merangkumi hanya kerja-kerja yang telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh sebab itu, senarai kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan dalam Jadual Penentuan Ujian. Ujian ini boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Selain itu, ujian akan direkodkan dalam Borang Rekod Ujian untuk difailkan. Murid yang dicalonkan ke dalam kelas Pemulihan Khas adalah berdasarkan beberapa faktor, antaranya ialah skor yang lemah, jenis masalah yang dihadapi oleh murid dan ruang yang ada untuk Kelas Pemulihan Khas.
            Peringkat keempat ialah ujian diagnostik. Ujian diagnostik ialah ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan Pemulihan Khas. Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan khas mengesan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid. Ujian ini dibentuk bukan untuk menilai peringkat pencapaian tetapi untuk mengesan masalah-masalah yang dialami ketika belajar dan mengenal pasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan daerah-daerah kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Analisa kesalahan ujian tersebut dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik.
            Peringkat yang terakhir ialah peringkat susulan. Pada peringkat ini, murid-murid pemulihan yang dapat menguasai kemahiran dan telah dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan dan kerjasama dari guru pemulihan. Guru kelas, guru mata pelajaran dan guru pemulihan perlu berkerjasama bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid tersebut. Murid pemulihan yang telah berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya. Mereka akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa. Hal ini demikian adalah untuk melihat sejauh mana perkembangan pelajar tersebut. Jika terdapat masalah terhadap murid tersebut, maka guru pemulihan akan bertindak segera untuk menyelesaikannya.
            Kesimpulannya, program pemulihan dilaksanakan dengan berstrategi supaya program ini berjalan secara berkesan. Strategi yang diaplikasikan adalah secara berperingkat dan sistematik. Permulaan bagi strategi melaksanakan program pemulihan ialah dimulakan dengan pencalonan, seterusnya ujian saringan, ujian diagnostik, tindakan susulan adalah stratergi terakhir setelah pengajaran berjaya dilaksanakan untuk memastikan murid yang terlibat terus mengikuti pembelajaran harian.

No comments:

Post a Comment