Terdapat pelbagai pendapat telah dikemukakan oleh
ahli-ahli pendidik barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan.
Secara lebih khusus, takrif pendidikan pemulihan itu telah diberi dengan
pelbagai definisi, iaitu :
Definisi yang dikemukakan oleh Pringle (1966) ialah
pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang
mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan
belajar, melalui latihan yang sistematis dan dapat memenuhi keperluan-keperluan
mereka.
Definisi ini hampir sama dengan definisi yang diberikan
oleh Albewhite (1977) yang mengatakan pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk
pengajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang
disertai oleh gangguan-gangguan emosi. Beliau menegaskan bahawa:
By remedial teaching
is meant teaching which is based in a different diagnosis which forms the basis
for scientific remedial procedures.
Menurut Collins (1961), pengajaran pemulihan ialah satu
bentuk pengajaran yang mengutamakan mata pelajaran asas. Malah beliau menegaskan
pengajaran ini ialah satu kaedah pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang
gagal dalam mata pelajaran asas di sekolah seperti membaca, menulis dan
mengira. Ini disimpulkan oleh Collins sebagai:
Special education
treatment of children found to be failling in the basic school subjects of
reading, spelling and number.
Bahagian Sekolah-sekolah Kementenian Pendidikan dalam
pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/J1d. V (26) bertarikh 8 Januari 1986, telah
mendefinisikan pengajaran pemulihan sebagai satu usaha dalam pendidikan untuk
mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah,
khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di
bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang
ini.
Menurut laporan yang bertajuk “Asia and Pacific Programme of Educational Innovation for Development”
(1987) yang disediakan oleh Kementenian Pendidikan Malaysia, pengajaran
pemulihan ialah:
...a process in
which children with learning problems are given practical alternatives and
effective approaches (programme) in education.
Ini bermakna
pengajaran pemulihan adalah satu proses pengajaran dengan pendekatan yang lebih
berkesan, pratikal bagi murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Pusat
Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), dalam konteks
KBSR Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk
membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran
asas membaca, menulis dan mengira. Mereka ini hendaklah dipulihkan sebaik
sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan.
Koh Boh Boon (1979) dalam kertas kerjanya bersempena
dengan Tahun Kanak-kanak 1979 mentakrifkan pengajaran pemulihan sebagai
pengajaran yang bertujuan untuk memulihkan kelemahan-kelemahan yang dikesan
pada murid lambat dengan tujuan meningkatkan taraf pencapaian mereka agar setaraf
dengan pencapaian murid-murid normal.
Berdasarkan Sharifah Alwiah Alsagoff (1983:371),
pendidikan pemulihan adalah satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi
keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran
dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid
secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan
dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
Konklusinya, pengajaran pemulihan adalah sejenis
pengajaran yang dijalankan untuk membantu murid-murid lambat dalam pembelajaran
di sekolah agar mereka tidak terus ketinggalan dalam proses pendidikan di
sekolah dan dapat setaraf dengan rakan mereka yang lain.
No comments:
Post a Comment