Konsep Program Pendidikan Pemulihan

Menurut Kamus Dewan, perkataan “pulih” bermaksud “kembali seperti biasa”, “sembuh” atau “baik semula”. Maksud perkataan “pulih” di sini bukanlah sembuh daripada sakit tetapi sebenarnya dihubungkan dengan kanak-kanak yang mengalami kesulitan pembelajaran. Pengajaran pemulihan biasanya berkaitan dengan usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul.
Pendidikan pemulihan merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi keutamaan kepada masalah murid dan langkah-langkah yang wajar seharusnya diambil untuk mengenal pasti dan memulihkannya. Program pemulihan juga akan memberi perhatian kepada sikap murid-murid yang negatif dan tingkah laku yang kurang baik yang akan menjejaskan pembelajaran dan pembentukan sikap yang baik.
Terdapat kebanyakan pendapat telah dikemukakan mengenai pendidikan pemulihan. Mengikut pendapat-pendapat tersebut pendidikan pemulihan adalah bertujuan untuk mengatasi masalah kelemahan yang dialami oleh guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Mat Nor Husin dan Jais Sahok 1990, konsep pendidikan pemulihan khas ialah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid yang gagal di peringkat bilik darjah kerana tidak menerima isi pelajaran seperti pencapaian rakan sebaya mereka yang tidak bermasalah. Bersandarkan kepada pendapat tersebut pendidikan pemulihan khas dapat dirumuskan sebagai satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira yang merupakan fokus utama dalam “Kurikulum Baru Sekolah Rendah” .
Koh Boh Boon (1982:2) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan kalau diteliti secara lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid lambat, iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap pencapaian yang sepatutnya. W.K. Brennan (1974) menyebut murid-murid seperti ini sebagai:
“...pupils who are unable to coope with the school works considered normal for their age group but whose failures cannot be explained by the presence of any handicapping conditions.”

No comments:

Post a Comment